Rahsia kejayaan tiga Tokoh Guru Kebangsaan 2007

JOHOR BAHRU 16 Mei – Tiga Tokoh Guru Kebangsaan 2007 berpendapat rahsia untuk menjadi guru cemerlang ialah keseronokan serta minat mendalam terhadap profesion yang diceburi.

Datuk Muhamad Mustaffa, 62, Datuk Abdul Majid Omar, 66 dan Gerald Lee Leong Ai, 60, mengakui untuk menjadi pendidik yang baik setiap guru mesti mengetahui dan memahami peranan masing-masing dalam mendidik pelajar.

Bagi Muhamad, sifat komited, memahami tugas yang diamanahkan serta seronok bekerja menjadikan beliau tabah menghadapi segala amanah dan cabaran sepanjang kerjaya sebagai pendidik selama 30 tahun.

‘‘Selain itu, sebagai pendidik yang sering menjadi rujukan pelajar, guru juga perlu peka dengan perubahan terutama dalam dunia pendidikan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Persada Johor di sini malam ini.

Penganugerahan Tokoh Guru Kebangsaan 2007 itu membolehkan ketiga-tiga tokoh guru berkenaan menerima hadiah wang tunai RM10,000 berserta hadiah iringan, pingat emas dan sebuah plak setiap seorang.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Hadir sama pada sambutan bertemakan Guru Penjana Modal Insan Cemerlang - Terima Kasih Guru itu ialah Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Muhamad yang mempunyai empat orang anak merupakan lulusan Universiti Malaya. Beliau memulakan kerjayanya dalam bidang perguruan pada 1970 apabila dilantik sebagai pengetua pertama Sekolah Menengah Sains Terengganu (SMST).

Kata Muhamad, semasa di sekolah itu, beliau memperkenalkan moto ‘Sekolah Berdisiplin, Berkualiti dan Berdedikasi'. Di bawah pentadbirannya, pencapaian keputusan peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekolah itu ialah 100 peratus.

Pada tahun 1982, beliau diberi kepercayaan menjadi Pegawai Pendidikan Daerah di Besut.

‘‘Sebagai Pegawai Pendidikan Daerah, saya beri semangat, motivasi, kesedaran dan bimbingan kepada guru-guru dan memperkenalkan moto ‘Sekolah Itu Mulia' dan ‘Guru Berkhidmat Di Institusi Mulia',” katanya.

Beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pelajaran Terengganu pada 1994 hingga tahun 2000 dan seterusnya menjawat jawatan Pengarah Pelajaran Terengganu hingga 2002 sebelum dilantik menjadi Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) selama lima tahun yang berakhir 20 Februari lalu.

Pengarah dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sekolah Lodge di Kuching, Sarawak, Leong Ai, yang turut terpilih sebagai Tokoh Guru Kebangsaan berpendapat, profesion perguruan merupakan kebanggaan bagi dirinya kerana melalui kerjaya itu beliau dapat mendidik anak bangsa.

Pendidik kelahiran Kuching yang berkhidmat sebagai guru selama 40 tahun berkata, beliau tidak pernah menganggap profesion yang diceburi sebagai sesuatu yang memberi tekanan kepadanya.

Malah, kata Leong Ai, sejak menjadi guru mulai 1968 hingga 2001 beliau diberi peluang menjadi pengetua selama 33 tahun di beberapa sekolah.

‘‘Apa yang membanggakan, saya diberi peluang berkhidmat di kawasan pedalaman antaranya Marudi, Limbang, Sarikei, Bintulu dan akhir sekali ketika hampir bersara baru saya berpeluang berkhidmat di Kuching,” katanya.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti New England di Australia dan memiliki Diploma Pendidikan dari universiti yang sama kini menjadi Ketua Eksekutif Kumpulan Sekolah Lodge.

Seorang lagi Tokoh Guru 2007, Datuk Abdul Majid Omar menyifatkan tugas mendidik adalah jihad dan wajib kepada setiap umat Islam terutama mereka yang bergelar guru.

‘‘Guru ialah pekerjaan yang menuntut setiap mereka yang bergelar guru berjihad demi memastikan mereka yang dididik menjadi orang terpelajar,” katanya.

Beliau yang kini merupakan Timbalan Mufti Selangor juga menjelaskan, tugas guru tidak berhenti apabila seorang guru itu bersara, sebaliknya tanggungjawab untuk mendidik perlu dilaksanakan sehingga ke akhir hayat.

Abdul Majid yang mempunyai pengalaman selama 26 tahun sebagai guru agama menyifatkan anugerah itu sebagai hadiah kepada semua guru agama di seluruh negara.

0 comments:

About this blog

Si camar putih cuba mendokumentasikan artikel-artikel penting, petikan kata, keratan akhbar & majalah, dan clip video yang didapati menarik untuk menjadi tatapan & renungan para pembaca khususnya untuk para pelajar, guru, ibubapa dan sesiapa yang berkenaan. Semua artikel, petikan kata, keratan akhbar & majalah yang terpilih akan dientrikan bersama sumber asalnya. Sumber asal adalah penting untuk mengikhtiraf sumbangan penulis / penerbit yang sebenarnya.