Rahsia kejayaan tiga Tokoh Guru Kebangsaan 2007

JOHOR BAHRU 16 Mei – Tiga Tokoh Guru Kebangsaan 2007 berpendapat rahsia untuk menjadi guru cemerlang ialah keseronokan serta minat mendalam terhadap profesion yang diceburi.

Datuk Muhamad Mustaffa, 62, Datuk Abdul Majid Omar, 66 dan Gerald Lee Leong Ai, 60, mengakui untuk menjadi pendidik yang baik setiap guru mesti mengetahui dan memahami peranan masing-masing dalam mendidik pelajar.

Bagi Muhamad, sifat komited, memahami tugas yang diamanahkan serta seronok bekerja menjadikan beliau tabah menghadapi segala amanah dan cabaran sepanjang kerjaya sebagai pendidik selama 30 tahun.

‘‘Selain itu, sebagai pendidik yang sering menjadi rujukan pelajar, guru juga perlu peka dengan perubahan terutama dalam dunia pendidikan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Persada Johor di sini malam ini.

Penganugerahan Tokoh Guru Kebangsaan 2007 itu membolehkan ketiga-tiga tokoh guru berkenaan menerima hadiah wang tunai RM10,000 berserta hadiah iringan, pingat emas dan sebuah plak setiap seorang.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Hadir sama pada sambutan bertemakan Guru Penjana Modal Insan Cemerlang - Terima Kasih Guru itu ialah Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Muhamad yang mempunyai empat orang anak merupakan lulusan Universiti Malaya. Beliau memulakan kerjayanya dalam bidang perguruan pada 1970 apabila dilantik sebagai pengetua pertama Sekolah Menengah Sains Terengganu (SMST).

Kata Muhamad, semasa di sekolah itu, beliau memperkenalkan moto ‘Sekolah Berdisiplin, Berkualiti dan Berdedikasi'. Di bawah pentadbirannya, pencapaian keputusan peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekolah itu ialah 100 peratus.

Pada tahun 1982, beliau diberi kepercayaan menjadi Pegawai Pendidikan Daerah di Besut.

‘‘Sebagai Pegawai Pendidikan Daerah, saya beri semangat, motivasi, kesedaran dan bimbingan kepada guru-guru dan memperkenalkan moto ‘Sekolah Itu Mulia' dan ‘Guru Berkhidmat Di Institusi Mulia',” katanya.

Beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pelajaran Terengganu pada 1994 hingga tahun 2000 dan seterusnya menjawat jawatan Pengarah Pelajaran Terengganu hingga 2002 sebelum dilantik menjadi Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) selama lima tahun yang berakhir 20 Februari lalu.

Pengarah dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sekolah Lodge di Kuching, Sarawak, Leong Ai, yang turut terpilih sebagai Tokoh Guru Kebangsaan berpendapat, profesion perguruan merupakan kebanggaan bagi dirinya kerana melalui kerjaya itu beliau dapat mendidik anak bangsa.

Pendidik kelahiran Kuching yang berkhidmat sebagai guru selama 40 tahun berkata, beliau tidak pernah menganggap profesion yang diceburi sebagai sesuatu yang memberi tekanan kepadanya.

Malah, kata Leong Ai, sejak menjadi guru mulai 1968 hingga 2001 beliau diberi peluang menjadi pengetua selama 33 tahun di beberapa sekolah.

‘‘Apa yang membanggakan, saya diberi peluang berkhidmat di kawasan pedalaman antaranya Marudi, Limbang, Sarikei, Bintulu dan akhir sekali ketika hampir bersara baru saya berpeluang berkhidmat di Kuching,” katanya.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti New England di Australia dan memiliki Diploma Pendidikan dari universiti yang sama kini menjadi Ketua Eksekutif Kumpulan Sekolah Lodge.

Seorang lagi Tokoh Guru 2007, Datuk Abdul Majid Omar menyifatkan tugas mendidik adalah jihad dan wajib kepada setiap umat Islam terutama mereka yang bergelar guru.

‘‘Guru ialah pekerjaan yang menuntut setiap mereka yang bergelar guru berjihad demi memastikan mereka yang dididik menjadi orang terpelajar,” katanya.

Beliau yang kini merupakan Timbalan Mufti Selangor juga menjelaskan, tugas guru tidak berhenti apabila seorang guru itu bersara, sebaliknya tanggungjawab untuk mendidik perlu dilaksanakan sehingga ke akhir hayat.

Abdul Majid yang mempunyai pengalaman selama 26 tahun sebagai guru agama menyifatkan anugerah itu sebagai hadiah kepada semua guru agama di seluruh negara.

Malaysia bermegah denganmu

1. Penerjunan di Kutub Selatan

Pada 14 Januari 2000, sekumpulan penerjun dari "Misi Kapsul Masa untuk Semua Insan’ telah membuat penerjunan di Patriot Hill, 1,800 km ke utara garisan. Sungguhpun penerjuannya tidak menepati sasaran, namun Malaysia merupakan negara Asia pertama yang terjun menggunakan payung terjun di benua ais tersebut.


2.Pemindahan lengan ke atas seorang bayi yang pertama di dunia

Pada Mei 2000, pakar bedah Dr V Pathmanathan mengetuai sekumpulan 55 orang dari Hospital Selayang, Selangor dalam menjalankan pembedahan pemindahan lengan ke atas seorang bayi yang pertama di dunia. Chong Lih Ying, yang dilahirkan tanpa lengan, menerima lengan daripada saudara kembarnya Lih Jeng, yang meninggal dunia akibat kerosakan otak semasa dilahirkan. Pembedahan untuk menyambung lengan Lih Jeng kepada tubuh Lih Ying mengambil masa mengambil masa 15 jam.


3.Malaysia ialah pengeksport alat pendingin hawa rumah

Malaysia ialah pengeksport alat pendingin hawa rumah terbesar di dunia. Alat-alat pendingin hawa ini dipasarkan di bawah jenama-jenama global.


4. Malaysia melancarkan mikrosatelit

Pada September 2000, Malaysia melancarkan mikrosatelit rekabentuk sendiri pertama iaitu Tiungsat-1. Mikrosatelit ini dimiliki dan diselenggarakan oleh Astronautic Technology (M) Sdn Bhd, sebuah syarikat milik penuh kerajaan. Kegunaan mikrosatelit bukan-komersial ini meliputi aplikasi untuk agensi-agensi kerajaan, pusat-pusat pengajian tinggi dan sektor swasta. Kegunaan paling lazimnya adalah bagi tujuan pengimejan bumi menggunakan tiga kamera sudut tirus dan sebuah kamera sudut lebar.


5.Klon ciku (achras sapota linn) CM19

Klon ciku (achras sapota linn) CM19 yang dihasilkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia boleh mencapai berat sehingga 500g – saiznya sama besar dengan sebiji buah epal Fuji, atau kira-kira tiga hingga empat kali ganda saiz buah ciku biasa.


6. Sistem transit rel ringan PUTRA


Sistem transit rel ringan PUTRA yang menghubungkan kawasan-kawasan sub-bandar di sebelah timur dan barat Kuala Lumpur merupakan sebahagian dari sistem pengangkutan moden di bandar raya itu. Sistem yang meliputi laluan sejauh 29km ini adalah sistem kereta api ringan automatik tanpa pemandu terpanjang di dunia pada tahun pertama operasinya, sehingga perkhidmatan kereta api ringan di Lille, France dipanjangkan kepada 32km pada tahun 2000.


7. Sunway Lagoon di Petaling Jaya mempunyai jambatan gantung pejalan kaki terpanjang di dunia

Taman tema Sunway Lagoon di Petaling Jaya mempunyai jambatan gantung pejalan kaki terpanjang di dunia dan kolam luncur ombak buatan terbesar di dunia.


8. Istana Budaya


Istana Budaya (dahulunya dikenali sebagai Panggung Negara) di Kuala Lumpur adalah salah sebuah panggung yang pertama di Asia yang mempunyai kemudahan pentas yang canggih untuk pementasan acara kesenian dan kebudayaan. Ini meletakkannya dalam senarai sepuluh panggung yang tercanggih di dunia. Direkabentuk oleh arkitek tempatan, Muhammad Kamar Ya’akub dan dibangunkan dengan kos RM210 juta, kompleks ini meliputi kawasan seluas 5.44 hektar dengan ukuran lantai seluas 21,000 meter persegi. Bentuk binaan utama Istana Budaya direka mengikut gubahan sirih junjung, manakala pelan lantai bangunan ini disusun berkonsepkan rumah tradisional Melayu yang mempunyai tiga bahagian iaitu tangga utama dan serambi (lobi), rumah ibu (auditorium) dan dapur (pentas utama dan dewan latihan)

9.Skrol Elektronik pertama di dunia -

Universiti Multimedia (MMU) memperkenalkan skrol elektronik pada 26 Februari 2000, dan menjadi universiti pertama di dunia memperkenalkan skrol elektronik. Di dalam skrol ini, graduan akan diberikan sebuah CD-ROM dan kad pintar berasaskan kad mikrocip yang merekodkan segala maklumat graduan. Dokumen digital ini menggunakan teknologi kritografi yang memberikan perlindungan sepenuhnya terhadap maklumat yang terkandung di dalamnya.


10. Putrajaya

Bandar ini merupakan Pusat Pentadbiran kerajaan Malaysia yang baru. Dengan imej sebagai bandaraya taman, serta bercirikan futuristik, moden, unik, bandaraya dilengkapi kabel fibre-optic dan teknologi maklumat terkini yang bakal menjadi pusat pentadbiran, komersil serta pusat budaya di Malaysia. Ia telah dibuka kepada orang ramai pada 23 Mac 2000. Putrajaya terletak di 4581 hektar tanah di kawasan selatan MSC, iaitu 25 kilometer dari Kuala Lumpur dan 20 km dari KLIA, Sepang.

11.Wetland Putrajaya yang terletak di pinggir pusat pentadbiran baru Malaysia

Wetland Putrajaya yang terletak di pinggir pusat pentadbiran baru Malaysia adalah taman paya air tawar buatan yang terbesar di kawasan tropika. Di samping berperanan sebagai pusat pendidikan, riadah dan eko-pelancongan, taman ini berfungsi sebagai sistem kawalan banjir dan penampung sistem penapisan air semulajadi bagi keseluruhan 600 hektar Tasik Putrajaya. Lebih dari 70 spesies tanaman paya dan 24 spesies ikan air tawar telah dibiakkan di taman ini.

13. Tokoh pendidikan Prof. Dr. Chin Yew Sin mencatat rekod dalam buku Record Book of Word's Initiators.


Tokoh pendidikan Prof. Dr Chin Yew Sin mencatat rekod dalam buku Record Book of World’s Initiators di atas pencapaian luarbiasa di dalam bidang akademik. Dr Chin memegang 12 rekod dunia, di antaranya: Orang pertama di dunia menghadiri lapan majlis konvokesyen untuk menerima lima ijazah, tiga diploma pasca-siswazah dan sijil dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Scotland dan Malaysia dalam masa setahun; orang pertama di dunia yang memiliki empat ijazah sarjana muda dan melengkapkan ijazah pada tahun yang sama; orang pertama di dunia yang berjaya melengkapkan program Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam Pentadbiran Perniagaan dalam masa empat bulan, ijazah MBA dalam masa sembilan bulan dan Doktor Falsafah dalam masa 15 bulan; dan orang pertama di dunia yang memiliki 72 kelayakan termasuk 11 ijazah, diploma pasca-siswazah dan sijil, dua diploma, 15 sijil, tujuh sijil profesional dan 37 keahlian profesional.


13. Bahasa Melayu kini merupakan kumpulan bahasa keempat terbesar di dunia

Bahasa Melayu kini merupakan kumpulan bahasa keempat terbesar di dunia dan kedua terbesar di Asia, dengan 250 juta orang penutur di Asia Tenggara dan 300 juta penutur di seluruh dunia.


14. K-Ekonomi (Ekonomi berasaskan Pengetahuan)

Semasa pelancaran di "Second Global Knowledge Conference" pada 8 Mac 2000, Y. A. B. Perdana Menteri telah menyampaikan ucap utama bertajuk "Transcending The Divide" yang mengandungi satu pemikiran dan rangka kerja mengenai matlamat Malaysia menjadi sebuah negara yang mengamalkan ekonomi berasaskan pengetahuan (knowledge economy) .

Pada April 2001, Malaysia menjadi negara pertama di dunia mengeluarkan Kad Pintar Pelbagai GunaPada April 2001, Malaysia menjadi negara pertama di dunia mengeluarkan Kad Pintar Pelbagai Guna yang memuatkan pelbagai aplikasi Kerajaan dan aplikasi pembayaran. Kad ini adalah satu daripada tujuh aplikasi perdana yang dibangunkan di bawah Koridor Raya Multimedia (MSC)

15.Program Robot Interaktif Pertama Malaysia dikenali sebagai AINI

Program Robot Interaktif Pertama Malaysia dikenali sebagai AINI (Artificial Intelligent Neural-Network Identity). AINI dibangunkan oleh Prof Madya Dr Goh Ong Sing bersama sepasukan penyelidik dari Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia di Melaka. Robot maya ini boleh bersembang dengan manusia dalam hampir semua topik perbualan. Ia boleh menunjukkan tindakbalas dengan ekspresi muka serta pergerakan tubuh yang bersesuaian dengan perbualan, serta boleh bertutur dalam bahasa Perancis, Itali, Jepun, Korea, malah Bahasa Inggeris dengan loghat Amerika atau British.



16. Kembar Siam berjaya dipisahkan

Pada Nov 2002 pasangan kembar Siam Azami dan Azama Kamarul Zaman, sembilan bulan, telah berjaya dipisahkan oleh pasukan pakar perubatan Hospital Kuala Lumpur yang diketuai oleh pakar bedah pediatrik Dr. Zakaria Zahari. Walaupun Malaysia telah banyak kali berjaya membuat pembedahan pemisahan kembar Siam sejak 1989, pembedahan ke atas Azami dan Azama merupakan yang paling rumit kerana organ dalaman mereka bercantum dan sesetengahnya bersilang.


17. Berjaya berenang merentasi Selat Inggeris

Lennard Lee, 20, seorang pelajar jurusan perubatan di Universiti Cambridge, berjaya berenang merentasi Selat Inggeris sejauh 33.6km dari Dover, England ke Calais, Perancis dalam masa 9 jam 45 minit pada Julai 2004. Lee menjadi rakyat Malaysia kedua berjaya merenangi Selat Inggeris, selepas Abdul Malik Mydin, 29, berjaya melakukannya dalam masa 17 jam 35 minit pada Ogos 2003.



18. Keamanan dan kesejahteraan

Salah satu daripada pencapaian terbesar Malaysia sejak Merdeka adalah keamanan dan kesejahteraan yang dinikmati oleh penduduknya yang berbilang kaum. Malaysia merupakan negara peneraju utama di dunia dalam usaha menentang keganasan. Malaysia melancarkan pengwujudan Pusat Serantau Asia Tenggara bagi Menentang Keganasan (SEARCCT) di Kuala Lumpur pada 2003.


19.Kompleks gas asli cecair (LNG) bersamaan dengan keluasan kira-kira 402 buah padang bola sepak.

Kompleks gas asli cecair (LNG) berharga RM 16.6 billion kepunyaan Petronas yang terletak di Bintulu, Sarawak, ialah kompleks LNG bersepadu terbesar di dunia pada masa ini. Dibuka pada Mei 2003, kompleks ini mempunyai keluasan 276 hektar, atau bersamaan dengan keluasan kira-kira 402 buah padang bola sepak.


20.Malaysia ditarafkan sebagai negara keempat paling berdaya saing
Pada Mei 2003, Malaysia ditarafkan sebagai negara keempat paling berdaya saing di kalangan negara-negara berpenduduk lebih daripada 20 juta. Penarafan ini dibuat berdasarkan kajian tahunan yang dibuat oleh Sekolah Perniagaan IMD di Lausanne, Switzerland.


21.Paduka Sharifah Mazlina memecahkan rekod dunia


Pada 30 Dis 2004 pensyarah Psikologi Sukan Universiti Teknologi Mara, Datin Paduka Sharifah Mazlina memecahkan rekod dunia sebagai wanita Asia pertama merentasi Antartik dengan meluncur ski dari Kutub Selatan ke Hercules Inlet yang meliputi jarak sejauh 1,100 km. Sharifah Mazlina memulakan ekspedisinya pada 9 Dis, meluncur sejauh 30km - 40km sehari. Antartik diketahui sebagai tempat paling sejuk di dunia, dengan suhu serendah 80 darjah Celsius dan purata kelajuan angin 85 km sejam.


22.Memecahkan rekod dunia

Pada Sept 2004, Nur Malena Hassan, 27, memecahkan rekod dunia setelah tinggal bersama 6,069 jengking selama 36 hari dalam kurungan kaca berukuran 3m x 3.6m Beliau hanya keluar dari kurungan itu selama 15 minit sehari untuk membersihkan diri.


23. Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear Malaysia dengan kerjasama pereka cipta Zulkifli Haron


Pada April 2004, Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear Malaysia dengan kerjasama pereka cipta Zulkifli Haron, berjaya mencipta robot yang mampu berfungsi menggantikan manusia dalam menjalankan kerja-kerja keselamatan apabila berlaku kecemasan di dalam bilik radioaktif. Antara lain fungsi robot ini ialah memberi bacaan dedahan radiasi, mengangkat beban serta membaiki kerosakan. Robot ini juga boleh menjalankan pelbagai fungsi lain di luar bilik radioaktif.


24. Rakyat pertama Malaysia berjaya menyeberangi Selat Inggeris

PUTRAJAYA, 8

Ogos -- MALAYSIA BOLEH....Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan Timbalannya Datuk Seri Abdulllah Ahmad Badawi menjulang tangan dua wira negara perenang maraton Abdul Malik Mydin (tiga dari kiri) dan pelayar Datuk Azhar Mansor (tiga dari kanan) pada majlis sambutan kepulangan Abdul Malik dari London, England di Lapangan Terbang Antarabangsa KL di sini, hari ini.
Abdul Malik, 28, merupakan rakyat pertama Malaysia yang berjaya menyeberangi Selat Inggeris sejauh 32.8 kilometer dari Dover, England ke Calais, Perancis pada 3 Ogos lepas.
Azhar pula pelayar pertama negara yang berjaya belayar mengelilingi dunia secara solo pada 1999.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Datuk Hishamuddin Tun Hussein (kiri) dan Timbalannya Datuk Ong Tee Keat (kanan).


25. Rakyat Malaysia kedua yang menjejakkan kaki ke puncak tertinggi dunia


Pada Mei 2004 mahasiswa Universiti Teknologi Mara Muhammad Muqharabbin Mokhtaruddin dan Ahmad Reduan Rozali, kedua-duanya 22 tahun, menjadi pelajar universiti dari Asia Tenggara yang pertama berjaya menjejakkan kaki ke puncak Gunung Everest. Mereka merupakan kumpulan rakyat Malaysia kedua yang menjejakkan kaki ke puncak tertinggi dunia tersebut selepas kejayaan N. Mohandas dan M. Magendran pada Mei 1997.


26. Mendapat 17A1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia


Pada 2005, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Tiram, Johor, Nur Amalina Che Bakri mencatat sejarah akademik negara bila mendapat 17A1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Tujuh daripada tujuh belas mata pelajaran yang diambilnya tidak ditawarkan di sekolahnya. Nur Amalina tidak mendapatkan tuisyen tambahan dan merupakan seorang pelajar yang cergas dalam kegiatan ko-kurikulum.


27.Pemain nombor satu dunia.

Kejayaan terbesar menjuarai Terbuka Dunia di Hong Kong meletakkan ratu skuasy wanita sama taraf dengan atlit sukan terbilang negara

IMPIAN besar mahu menakluk dunia suatu hari nanti akhirnya menjadi kenyataan tahun ini. Tiada siapa yang mampu menafikan Nicol Ann David, gadis kelahiran Pulau Pinang untuk bergelar juara dunia sekali gus ditabalkan sebagai pemain nombor satu dunia.


28. Perlantikan Yang Dipertuan Agong ke 13

13 Dis 2006 - Perlantikan Yang Dipertuan Agong ke 13 - Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Maktafi Billah Shah di Istana Negara



29. Tahun Melawat Malaysia 2007 (TMM’07)


6 Jan 2007-Tahun Melawat Malaysia 2007 (TMM’07) dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan penuh gilang-gemilang disaksikan berpuluh-puluh ribu hadirin termasuk pelancong asing di Taman Tasik Titiwangsa serta jutaan warga dunia menerusi siaran langsung ke 10 negara.


30. Terowong SMART

CANGGIH... Beberapa kenderaan digunakan bagi menguji laluan dalam Terowong Jalan dan Pengurusan Air Banjir (SMART) sepanjang empat kilometer di Kuala Lumpur, semalam. Terowong dwifungsi yang dijangka dibuka kepada lalu lintas akhir Mac ini, akan dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas serta mengatasi banjir kilat di ibu negara menerusi laluan air di bahagian bawah terowong itu. – Bernama.

30 Mac 2007-Jalan terowong bawah tanah atau juga dikenali sebagai terowong SMART bernilai RM1.9 bilion menjadi laluan alternatif kepada 200,000 pengguna jalan raya.

Laluan kira-kira empat kilometer itu bakal memendekkan masa perjalanan kepada lima minit dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Sungai Besi menuju ke Bulatan Kampung Pandan.

Projek SMART atau singkatan kepada Terowong Jalan dan Pengurusan Air Banjir yang dimulakan pada Januari 2003 dirangka, dengan dwifungsi utama iaitu untuk mengatasi masalah banjir di ibu negara dan sebagai laluan trafik.

Sebagai terowong lencongan air ketika banjir kilat melanda ibu negara, ia mampu menampung sehingga tiga juta meter padu air dengan mengalihkan dari Sungai Klang di Kampung Berembang, Ampang melalui terowong ke kolam tadahan terletak di Taman Desa, Jalan Klang Lama seterusnya dilepaskan secara terkawal ke Sungai Kerayong.

Pada waktu yang sama, terowong ini digunakan sebagai laluan alternatif bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.oleh

Kubur Tok Janggut di Tumpat, Kelantan

Siapakah orang yang paling menyusahkan?

Orang yang mengalami kesulitan terbesar dalam hidupnya dan paling menyulitkan orang-orang lain adalah orang yang tidak memberikan perhatian kepada orang lain. Semua kegagalan manusia muncul daripada orang-orang seperti ini.

- Alfred Adler (ahli psikologi Vienna)

Budak buku teks

Oleh Ibrahim Isa dan Zalifah Mohd Yatim
am@hmetro.com.my

(Petikan Harian Metro, 10 Mac 2005)

ULU TIRAM: Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2004, Nur Amalina Che Bakri digelar guru kelasnya sebagai ‘Budak Buku Teks’ kerana keupayaannya mengingati semua pelajaran yang diajar.
Gurunya, Zaiton Salamat, berkata Nur Amalina adalah seorang pelajar yang sentiasa memberi tumpuan ketika di dalam kelas dan banyak bertanya kepada guru jika tidak memahami mata pelajaran yang diajar.

“Setiap topik dia bukan hanya memberi tumpuan dan memahaminya, malah akan menghafalnya sehingga diberi gelaran ‘Budak Buku Teks’.

“Nur Amalina akan ingat setiap mata pelajaran yang diajar dari A sampai Z kerana sikapnya yang suka menambah ilmu pengetahuan termasuk rajin mencari maklumat sampingan dengan melayari internet,” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Tiram, di sini, semalam.

Zaiton adalah guru kelas sejak Nur Amalina dalam tingkatan empat hingga lima di sekolah berkenaan dan turut mengajar mata pelajaran Biologi.

Katanya, di sekolah Nur Amalina sentiasa mengisi masa lapang dengan membaca dan tidak suka membuang masa, walaupun ketika menjadi pengacara majlis akan sentiasa memegang buku nota.

Menurutnya, dalam kelas Nur Amalina akan sentiasa memastikan duduk di bahagian depan dan sepanjang peperiksaan sentiasa mendapat tempat pertama.

“Saya yakin dia akan mencapai keputusan cemerlang termasuk apabila dia memaklumkan mengambil satu lagi mata pelajaran tambahan iaitu Sains Teras.

“Kata-kata yang kerap dia ucapkan adalah ‘Insya-Allah boleh’. Dia tidak pernah mengaku kalah bahkan sentiasa berkeyakinan dengan apa yang diusahakannya,” katanya.

Nur Amalina mendapat 17A1 dalam peperiksaan SPM tahun lalu yang diumumkan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di sekolahnya, petang semalam.

Dia mendapat A1 dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik Moden, Biologi, Kimia, Fizik, Ekonomi Asas, Perdagangan, Prinsip Akaun, Sains Asas, Pendidikan Seni, Tasawur Islam, Kesusasteraan Melayu, Bahasa Inggeris bagi Sains dan Teknologi, Pendidikan Islam, Matematik Tambahan.

Selain itu, Nur Amalina mendapat pangkat A bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris 1119.

Sementara itu, Pengetua SMK Ulu Tiram, Rosni Ismail, berkata beliau mengenali Nur Amalina sejak pelajar itu menuntut di tingkatan satu dan bakat serta kebolehannya dikesan ketika menghadiri kursus pengawas pada 2001.

Katanya, Nur Amalina sentiasa menjadikan guru sebagai rujukan dan dua kali seminggu, dia akan berjumpanya untuk mendapatkan nasihat dan pandangan mengenai pelajaran.

Menurutnya, sifat ulat buku Nur Amalina adalah antara amalan diterapkan dalam kehidupan untuk meluaskan ilmu pengetahuan.

“Walaupun membuat keputusan tidak menyambung pelajaran di sekolah berasrama penuh dan tidak pergi ke kelas tuisyen, Nur Amalina menjadi contoh pelajar di sekolah harian masih boleh mendapat keputusan cemerlang.

“Apabila mengenali dan mengesan bakat Nur Amalina ketika dia di tingkatan satu, saya sudah ramalkan dia akan mencatatkan sejarah,” katanya.

Pelajar Terbaik SPM 2007 SBPI Rawang

Pelajar cemerlang SPM 2006 dari Kelantan





KOTA BHARU 12 Mac – Pelajar Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi (Perempuan) di sini, Siti Fatimah Mukhtar mencatatkan sejarah peribadi dan negeri dengan pencapaian tertinggi, 18A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2006.

About this blog

Si camar putih cuba mendokumentasikan artikel-artikel penting, petikan kata, keratan akhbar & majalah, dan clip video yang didapati menarik untuk menjadi tatapan & renungan para pembaca khususnya untuk para pelajar, guru, ibubapa dan sesiapa yang berkenaan. Semua artikel, petikan kata, keratan akhbar & majalah yang terpilih akan dientrikan bersama sumber asalnya. Sumber asal adalah penting untuk mengikhtiraf sumbangan penulis / penerbit yang sebenarnya.