5 cara bangunkan keyakinan dan hancurkan ketakutan

1. Perbuatan dan tindakan akan melenyapkan rasa takut

2. Berusahalah untuk hanya menyimpan fikiran-fikiran positif dalam bank ingatan anda.

3. Pandanglah orang yang sebenarnya. Ingat, bahawa manusia itu sama sahaja. Pandangan yang seimbang tentang orang lain, dia adalah manusia seperti anda. Kembangkan sikap, ada orang yang menyalak, tapi jarang sekali menggigit

4. Buatlah hal-hal yang sesuai dengan hati nurani anda. Ini mencegah kompleks dosa berkembang

5. Amalkan teknik ini:

a. Duduklah di hadapan
b. Lakukan "hubungan mata"
c. Jalanlah 25% lebih cepat
d. Berbicaralah
e. Senyumlah lebar-lebar

Pengurusan kurikulum berkesan - Datuk Alimuddin Md Dom


Bersama Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sekolah) - BAHAGIAN 3

DIYAKINI dengan melaksanakan perkara-perkara yang dinyatakan itu akan membolehkan pengurusan sekolah terlaksana dengan baik dan dapat pula meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

Pemantauan

Pemantauan dari perspektif tradisional sering dikaitkan dengan tindakan pihak pengurusan melaksanakannya dalam bentuk mengarah, mengawal dan menghukum. Namun demikian, Sergiovanni dan Starratt (1983) yang melihat pemantauan dari sudut sumber manusia adalah bermaksud sebagai satu usaha atau tindakan bagi mencapai sesuatu matlamat dengan menggunakan keupayaan atau tindakan bagi mencapai sesuatu matlamat dengan menggunakan keupayaan dan daya usaha orang lain. Dalam konteks ini guru merupakan pemain utama yang akan melaksanakan aktiviti ke arah mencapai matlamat sekolah tersebut. Oleh itu, pendekatan pemantauan yang dimaksudkan ialah bertujuan menggunakan sebaik mungkin dan secara optimum keupayaan serta kebolehan yang sedia ada pada diri guru untuk melaksanakan tugas pengajaran dan pembelajaran yang berkenaan.

Pada kebiasaannya, budaya sekolah yang menitikberatkan aspek kecemerlangan bidang akademik dan kokurikulum akan menjadikan proses pemantauan sebagai satu aspek penting di sekolah berkenaan. Pemantauan juga merupakan tanggungjawab pihak pengetua atau guru besar sepertimana yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/1987, iaitu menjadikan pemantauan sebagai sebahagian tugas harian bagi memastikan pengajaran guru berada dalam keadaan yang baik dan mempunyai standard serta kualiti yang tinggi. Pemantauan seharusnya bukan dilakukan oleh pengetua atau guru besar atau guru-guru kanan sahaja malah boleh dilakukan juga oleh rkan sejawat.

Salah satu daripada kaedah pemantauan yang biasa dilakukan oleh pengetua dan guru besar terhadap guru ialah melalui pemantauan klinikal. Pemantauan klinikal ini dilaksanakan melalui empat peringkat iaitu:

1. Prapemantauan

Sebelum pemantauan dilakukan pengetua atau guru besar akan mengadakan perbincangan dengan guru untuk melihat aspek-aspek yang berkaitan iaitu dari segi objektif, tajuk, pendekatan pengajaran dan jangkaan outcome yang akan dicapai melalui pengajaran yang akan dilaksanakan. Di samping itu latar belakang tahap kebolehan pelajar juga turut dibincangkan supaya pemantauan mendapat gambaran awal.

2. Pemantauan

Proses pemantauan dilakukan di bilik darjah; pengetua kebiasaannya akan duduk di suatu sudut belakang bilik darjah. Kaedah, teknik dan cara pengajaran guru dan pembelajaran pelajar menjadi fokus utama pemantauan. Catatan akan dibuat semasa pemantauan iaitu menekankan dari segi kekuatan dan kelemahan guru. Pengetua dan guru besar hendaklah menurunkan keupayaan dan kebolehan diri mereka sesuai seperti seorang pelajar yang ada di bilik darjah berkenaan. Apa yang perlu dilihat ialah dari segi isi pengajaran, ilmu yang disampaikan, kejelasan suara penggunaan alat bantu mengajar, kawalan bilik darjah, memahami apa yang disampaikan dan pelajar-pelajar mendapat pengetahuan serta kemahiran daripada pengajaran guru tersebut.

3. Analisis

Proses ini dilakukan oleh pengetua dan guru besar yang akan membuat refleksi dan merangka kesimpulan daripada proses pengajaran dan pembelajaran tersebut bersama guru. Catatkan segala kekuatan dan kelemahan yang ada pada diri guru, teknik penyampaian, ilmu yang disampaikan, penerimaan pelajar dan jangkaan yang ingin dicapai. Penggunaan alat video dan perakam kadang-kadang boleh membantu dalam membuat sesuatu analisis.

4. Pascapemantauan

Pengetua dan guru bertemu bagi membincangkan analisis yang telah dibuat dan memberikan cadangan penambahbaikan yang perlu dilakukan. Pada peringkat ini, kekuatan yang ada pada diri guru juga perlu ditonjolkan. Di sinilah kekuatan dan kebolehan pengetua dan guru besar diperlukan bagi membimbing dan memandu anak buahnya. Guru-guru yang didapati mempunyai kelebihan dalam cara penyampaian dan pengajaran boleh dijadikan sebagai penanda aras untuk menjadi contoh kepada guru lain terutama guru baru.

Pemantauan klinikal adalah suatu kaedah bagi membantu guru dalam meningkatkan kualiti dan prestasi pengajaran mereka. Sebagaimana yang dinyatakan tadi aktiviti pemantauan perlu dilaksanakan secara berterusan sepanjang masa oleh pengetua dan guru besar. Pemantauan juga boleh digalakkan kepada sesama guru bagi mendapatkan penanda arasan pengajaran yang baik yang boleh dicontohi di samping meningkatkan lagi tahap profesionalisme khususnya kepada guru-guru baru. Bagi sebilangan sekolah cemerlang yang pernah dilawati oleh Jemaah Nazir, mereka menjadikan aspek pemantauan ini sebagai suatu budaya atau kebiasaan di kalangan tenaga pengajar di sekolah berkenaan. Pengetua atau guru besar dan guru-guru kanan akan membuat pemantuan pada bila-bila masa sementara guru-guru pula bersedia untuk dipantau tanpa dimaklumkan terlebih dahulu.

Penilaian

Penilaian pencapaian pelajar merupakan suatu kaedah untuk mengukurkeberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Penilaian boleh dilakukan dalam bentuk lisan dan tulisan sama ada semasa pengajaran sedang dijalankan atau diwaktu tertentu. Bagi sekolah berkesan, proses penilaian yang dibuat melalui ujian atau peperiksaan dilakukan secara sistematik sama ada berbentuk mingguan bulanan, penggal atau pada akhir tahun.

Dalam hal ini konsep penilaian perlu difahami oleh semua warga sekolah iaitu bertujuan untuk menilai dan mendapatkan maklumat tentang tahap keupayaan dan kefahaman pelajar terhadap pengajaran guru. Maklumat ini berguna kepada guru dan pihak sekolah untuk memperbaiki perancangan, program dan aktiviti yang dilaksanakan. Penilaian juga diperlukan bagi menyampaikan maklumat kepada ibu bapa untuk mengetahui peningkatan pencapaian akademik anak-anak mereka di sekolah. Di samping itu penilaian juga akan memberi peluang kepada pelajar untuk mengetahui tahap keupayaan dan kelemahan mereka dalam aspek yang dinilai. Ini penting untuk mereka membuat penambahbaikan terhadap pencapaian tersebut.

Kesimpulan

Pengurusan kurikulum hendaklah dijadikan oleh pengetua dan guru besar sebagai agenda utama dalam aktiviti hariannya di sekolah. Pengurusan kurikulum yang baik dan teratur akan dapat membantu guru-guru melaksanakan tugas pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah dengan lebih berkesan. Keperluan mendapatkan maklumat peningkatan pencapaian akademik pelajar dan aktiviti pemantauan kepada pengajaran guru perlu diberi keutamaan oleh pengetua dan guru besar dalam melaksanakan tugasan hariannya. Dengan adanya maklumat dan data yang lengkap akan memudahkan pengetua dan guru besar merancang, melaksana dan menilai program serta aktiviti yang dilakukan oleh guru dan pelajar. Ini akan membolehkan mereka menjadi pengurus kurikulum berkesan yang dikagumi oleh semua guru dan pelajar.



Kemahiran Belajar: Ulasan Ketua Nazir Sekolah

KEMAHIRAN BELAJAR:

MENGAPA DAN BAGAIMANA

KEMAHIRAN BELAJAR PERLU DISAMPAIKAN

KEPADA PELAJAR SEKOLAH

Oleh:

HAJI ALIMUDDIN BIN HAJI MOHD. DOM

KETUA NAZIR SEKOLAH

Disediakan untuk:

Mesyuarat Penyelarasan Pelaksanaan

Program PPSMI Tahun 2006,

Untuk Pengetua Sekolah Menengah Negeri Sabah,

29.11.2005 di Hotel Tang Dynasty, Kota Kinabalu,

30.11.2005 di Beringgis Beach Resort, Papar dan,

1.12.2005 di Hotel Belmont, Marco Polo, Tawau, Sabah.

“Untill recently, most people placed their illnesses entirely in the hand of doctors. The patient was viewed as a passive participant in the healing process. Today many people see that they play an active role in keeping themselves healthy. Norman Cousins best-seller, ‘Anatomy of an Illness” have demonstrated that patients can do much to heal themselves.

A similar principle applies to the learning process. Traditionally, the teacher has been regarded as the most important element of instruction. But the teacher cannot learn for the student Learning occurs inside the student’s head, not the teacher’s. The student must use appropriate skill for learning-study skills-or learning will not occur.”

“Tools for learning:

A Guide to Teacher Study Skills”, Gall, M.D. and Gall, J.P., ASCD Pub., 1990.

PENDAHULUAN

Jemaah Nazir Sekolah semasa membuat pemantauan dan pemeriksaan terhadap guru-guru di bilik-bilik darjah bukan sahaja menilai aspek pengajaran tetapi juga memerhatikan pembelajaran pelajar semasa guru mengajar. Kadang-kadang berlaku keadaan berat sebelah di mana guru-guru melaksanakan pengajaran mereka dengan bersungguh-sungguh dan penuh semangat tetapi dalam masa yang sama pembelajaran pelajar adalah sebaliknya. Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan pelajar-pelajar tidak mempunyai kemahiran belajar yang tinggi serta seimbang dengan pengajaran guru.

Oleh itu, kertas ringkas ini adalah untuk memberi sedikit panduan tentang kemahiran belajar. Antara aspek yang dibincangkan ialah:

1. Kemahiran Pengurusan Kendiri

2. Kemahiran Mendengar, Participating dan Mengambil Nota

3. Kemahiran Membaca

Kami percaya sekiranya pihak pengurusan sekolah mengambil inisiatif untuk memberikan kemahiran-kemahiran ini kepada pelajar mereka maka usaha untuk menjadikan semua sekolah di negara kita sebagai pusat kecemerlangan akan tercapai. Guru-guru akan lebih mudah dan selesa dalam menyampaikan pengajaran sekiranya pelajar-pelajar mereka telah bersedia dan tahu apa yang perlu dilakukan.

KEMAHIRAN PENGURUSAN KENDIRI

Terma pengurusan kendiri atau self-management dirujuk kepada kemahiran pelajar untuk monitor, reward dan direct tingkah laku belajar mereka. membolehkan mereka menjadi pelajar yang bebas untuk belajar dan tidak bergantung kepada arahan orang lain untuk rnemahaminya. Untuk memberi panduan kepada pelajar-petajar maka guru hendaklah memahami keperluan sekolah dan rumah supaya mereka boleh mengimbangi aktiviti harian pelajar tersebut. Di sekolah pelajar-pelajar dikawal oleh guru dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan, iaitu:

1. Aktiviti yang Terbatas

Bercakap, mendengar dan bergerak serta perbuatan lain akan dikawal oleh orang dewasa. Mereka selalunya meminta kebenaran guru untuk melakukan sesuatu dan sekiranya engkar akan diberi hukuman. Pergerakan mereka adalah terbatas mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah.

2. Kekangan Masa

Pelajar menghadiri sekolah lima hari seminggu dan 190 hari setahun. Mereka terikat dengan masa untuk menyiapkan tugas, kerja rumah, peperiksaan dan menjalankan aktiviti kokurikulum yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah.

3. Cara Belajar yang Bebas

Di peringkat sekolah rendah pelajar-pelajar banyak bergantung kepada guru untuk belajar tetapi apabila sampai ke sekolah menengah, cara mereka belajar adalah ditentukan oleh cara mereka sendiri.

4. Persaingan dan Penilaian

Sekolah meletakkan pelajar dalam situasi persaingan. Mereka digalakkan berlumba-lumba untuk mencapai tempat yang terbaik dalam ujian dan peperiksaan termasuk aktiviti-aktiviti sekolah yang lain.

5. Tindak Batas Sosial

Interaksi sosial di sekolah sangat kompleks. Pola perlakuan sering berubah-ubah di mana ada ketikanya berlaku persaingan, ingin berkawan, mengikut klik atau kumpulan. Kadang-kadang suasana di bilik darjah boleh mengganggu mereka kerana interaksi sosial ini adalah penting kepada pelajar tetapi bukan menjadi agenda penting bagi guru atau tidak diberi perhatian secara serius.

Sementara itu, di luar kawasan sekolah atau di rumah keadaan dan keperluan adalah berlainan, iaitu:

1. Rutin Harian Di Rumah

Mereka diharapkan oleh ibu bapa untuk membantu tugas-tugas rumah seperti memasak, mengemas, menjaga adik, mencuci atau mernbersihkan kawasan rumah.

2. Masalah Keluarga

Masalah perpisahan, perceraian, sakit kuat, ibu tunggal dan lain-lain masalah keluarga turut mempengaruhi jiwa dan tingkah laku pelajar pelajar.

3. Bekerja

Terdapat juga pelajar-pelajar yang membuat kerja sambilan bertujuaan untuk mendapat wang tambahan. Suasana ini sudah tentu menjejaskan pembelajaran pelajar.

4. Hiburan

Masa pelajar-pelajar boleh terganggu kerana menonton televisyen, permainan video, muzik, filem dan bergaul dengan rakan-rakan tanpa mengira masa dan tempat.

Sekiranya kita membandingkan kedua-dua keadaan di sekolah dan luar sekolah maka didapati pelajar menghadapi suasana yang berbeza dan kadang-kadang mereka menghadapi dilema atau keliru untuk memilih keadaan yang sepatutnya mereka ikuti dan lakukan. Adalah menjadi tugas guru dan kaunselor untuk membantu pelajar membuat pilihan yang sesuai dengan diri mereka supaya pembelajaran mereka dapat diteruskan dengan baik.

Untuk meningkatkan keupayaan pelajar bagi menghadapi pembelajaran, guru boleh memberikan beberapa panduan dan pengetahuan kepada mereka supaya dapat membuat persediaan melalui perkara berikut:

1. Menyediakan Peralatan Belajar

Antara panduan tersebut ialah kaedah menyusun bahan pembelajaran seperti alat tulis, bahan edaran, nota, assignment dan sebagainya. Bahan-bahan ini perlu disimpan dengan baik dan mestilah boleh didapatkan semula dengan segera jika diperlukan. Oleh itu, guru perlu mengajar pelajar untuk menyediakan fail, folder dan tempat simpanannya dengan cara bersistem.

2. Pengurusan Masa

Pengurusan masa sangat penting kepada pelajar. Masa yang ada selama 24 jam sehari mesti boleh dibahagikan dengan baik mengikut aktiviti yang telah ditetapkan. Mereka mestilah dapat menyiapkan kerja-kerja rumah, mengulang kaji, membuat rujukan, berbincang, menghadiri kelas tambahan dan lain-lain aktiviti mengikut jadual yang telah ditetapkan. Di samping itu, mereka juga perlu boleh membahagikan masa untuk berkawan, bermain, berehat dan sebagainya.

3. Pilihan Kerjaya Masa Depan

Pelajar perlu jelas melihat masa depan mereka termasuk cita-cita pekerjaan yang mereka ingini. Guru-guru boleh membantu pelajar memilih kerjaya melalui ujian-ujian dan maklumat tentang pekerjaan tersebut. Sekiranya pelajar tahu arah tuju masa depan, sudah tentu mereka akan berusaha untuk mencapainya melalui kerja keras sama ada di bilik darjah atau di rumah.

4. Menepati Masa

Pelajar perlu sering diingatkan tentang pentingnya menepati masa. Mereka perlu datang lebih awal ke sekolah dan hadir sebelum bermulanya sesuatu aktiviti. Mereka juga dikehendaki menyiapkan latihan kerja rumah mengikut masa yang ditetapkan dan membuat persediaan awal sebelum sesuatu ujian dan peperiksaan diadakan. Menepati masa boleh menjadikan pelajar bersahsiah unggul dan ianya juga merupakan persediaan sebelum pelajar memasuki dunia pekerjaan.

5. Mengurus Tekanan

Menguruskan tekanan atau stress perlu diajar kepada pelajar. Mereka hendaklah di supaya sentiasa berfikiran terbuka dan mengawal emosi. Maklumat pemakanan yang seimbang perlu kepada mereka kerana fizikal mereka yang sedang membesar. Sementara itu tidur yang cukup dan melakukan riadah perlu kepada pelajar bagi menjadikan diri mereka sihat, ceria dan bertenaga.

6. Galakkan Perbincangan

Guru mesti menjadikan dirinya sebagai tempat mendapatkan maklumat atau tempat rujukan pelajar-pelajar. Galakkan mengadakan perbincangan dan wujudkan kumpulan-kumpulan belajar. Pelajar-pelajar perlu disediakan ruangan untuk bertukar-tukar fikiran dan guru boleh menjadi fasilitator.

KEMAHIRAN MENDENGAR, PARTICIPATING DAN MENGAMBIL NOTA

1. KEMAHIRAN MENDENGAR

Kebanyakan orang sama ada tua atau muda menggunakan lebih banyak masa untuk mendengar daripada rnembaca, bercakap dan menulis. Pendengar yang berkesan melibatkan lebih daripada mendengar percakapan sahaja. Ianya mestilah melibatkan pemprosesan yang aktif seperti menghayati, memahami dan menilai apa yang diperkatakan. Di dalam bilik darjah, bertutur merupakan salah satu kaedah penting pengajaran guru. Oleh itu, pelajar-pelajar mestilah didedahkan dengan kemahiran mendengar.

Walaupun pelajar boleh mendengar dengan baik tetapi mereka akan mudah lupa. Mengikut beberapa kajian, didapati pelajar akan lupa separuh daripada maklumat yang diterima selepas 55 minit dan selepas seminggu sebanyak 17% sahaja yang dapat diingati. Oleh itu, masalah tersebut boleh diatasi dengan meminta pelajar membuat catatan atau mengambil nota.

Kaedah mengambil nota yang baik akan membolehkan pelajar mengingat fakta atau maklumat dalam jangka masa yang panjang.

Kemahiran mendengar yang baik mesti didahului dengan sikap yang baik dan positif. Pelajar mesti mempunyai sikap yang positif terhadap pengajaran guru seperti datang lebih awal ke kelas, mencari tempat duduk yang strategik, membuat persediaan awal dengan membaca perkara berkaitan tajuk serta isi kandungan dan menyediakan alat tulis serta buku nota untuk membuat catatan.

2. KEMAHIRAN PARTICIPATING

Kemahiran participating atau mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti pembelajaran seterusnya ada kaitan dengan usaha ke arah membina sahsiah pelajar yang berani dan ingin mencuba. Ini menjadikan mereka tidak gentar atau tidak takut untuk bertanya, memberi pendapat atau pandangan mengenal sesuatu perkara, walaupun bertentangan dengan pandangan orang lain. Pelajar yang aktif ini akan menjadi bebas laku, sentiasa ingin tahu, ingin mencuba dan tidak takut kepada kegagalan. lnilah jiwa pelajar yang ingin kita bangunkan sesuai dengan usaha kerajaan untuk menjadikan negara kita sebagai negara maju.

Kemahiran participating yang menggalakkan pelajar bertanya dan menjawab soalan guru akan membolehkan mereka memeriksa dan menilai sejauh mana mereka memahami isi pengajaran yang diajar. Ini juga ada kaitan kepada persediaan menghadapi ujian atau peperiksaan yang akan ditempuhi. Walau bagaimanapun, ramai pelajar tidak mengambil peluang ini di mana mereka sering merasa malu atau takut. Di sinilah peranan guru untuk memastikan semua pelajar dalam kelasnya memiliki kemahiran participating ini.

3. KEMAHIRAN MENGAMBIL NOTA

Dalam memberikan kemahiran mengambil nota, guru hendaklah memastikan pelajar tidak mengambil nota dalam setiap perkara yang dicakapkan. Yang penting, adakah maklumat itu merupakan fakta dan diperlukan pada masa hadapan. Dalam hal ini, pelajar mestilah boleh membezakan maklumat yang penting dan tidak penting. Mereka mestilah menentukan sama ada mereka telah mengetahui maklumat itu atau merupakan maklumat yang baru.

Guru juga mesti menggalakan pelajar mengambil nota dalam perbincangan-perbincangan formal dan dalam masa yang sama menjadikan kebiasaan kepada mereka untuk menyoal dan memberi pendapat. Selain daripada itu, pada peringkat awal dalam usaha menggalakkan pelajar menggunakan teknik mengambil nota, guru hendaklah memberikan tanda atau cues yang menunjukkan pelajar perlu mencatatkan nota mereka seperti mengeraskan suara atau mengulang semula pertuturannya.

Bagi mengelakkan pelajar menulis nota terlalu panjang, guru hendak menggalakkan pelajar menggunakan perkataan mereka sendiri, bentuk simbol, grafik atau peta minda (mind mapping). Bagi mengelakkan terlalu banyak simbol yang mengelirukan, dicadangkan pelajar membiasakan menulis kata kunci atau glossary di bahagian hadapan nota supaya memudahkan mereka mengingati makna simbol-simbol tersebut.

Guru juga perlu menggalakkan pelajar menggunakan pen dan bukan pensel dalam menulis nota. Ini untuk memastikan nota tersebut dapat digunakan dalam jangka masa yang panjang. Nota juga hendak ditulis pada sebelah muka sahaja kerana muka sebelah lagi pada buku dibiarkan kosong untuk memudahkan pelajar membuat catatan baru, menambah fakta atau digunakan semasa membuat ulang kaji.

Di samping itu, guru juga boleh mengingatkan pelajar bahawa kebiasaannya pada waktu terakhir guru mengajar adalah masa yang penting dalam sesuatu pengajaran dan perlu berikan perhatian. Ini disebabkan guru akan membuat kesimpulan, rumusan atau menyenaraikan kembali isi pengajarannya daripada awal hinggalah ke penghujung pengajarannya. Inilah masanya pelajar perlu membuat penumpuan dan mencatatkan fakta-fakta yang disimpulkan oleh guru.

Bagi tujuan kemudahan memfail atau menyimpan nota (walaupun tidak begitu penting) tetapi pelajar perlulah diingatkan supaya menulis nama mata pelajaran, tarikh, masa dan nama guru pada bahagian atas nota mereka. Ini untuk memudahkan pelajar mendapatkan kembali nota tersebut walaupun telah berlalu sekian lama dan dalam masa yang sama mendidik pelajar supaya kerja-kerja mereka sentiasa kemas dan bersistem.

Dalam penyediaan nota yang balk, ada pendapat yang menggalakkan pelajar menggunakan the Cornell method. Kaedah Cornell ini ialah dengan menggunakan kertas saiz A4 atau A5 di mana kertas tersebut dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian kanan untuk mencatatkan nota sementara di sebelah kiri dibiarkan kosong yang bertujuan untuk catatan tambahan semasa membuat ulang kaji nanti. Kaedah ini didapati sangat berkesan terutama kepada mereka yang mempunyai pencapaian sederhana kerana pelajar masih boleh mencatatkan fakta tambahan atau ulangan dalam nota yang sama pada bila-bila masa.

Kemahiran mendengar, participation dan mengambil nota ini perlu disampaikan kepada pelajar secara terancang. Pihak pengurusan sekolah perlu menekankan aspek ini dalam program perkembangan staf, aktiviti kokurikulum dan jadikan sebagai sebahagian kemahiran yang merentasi kurikulum. Guru-guru dan kaunselor perlu dilatih dan galakkan mereka menterjemahkan kemahiran tersebut dalam tugas harlan mereka supaya ia menjadi sebahagian daripada budaya sekolah berkenaan.

KEMAHIRAN MEMBACA

Tujuan utama guru menyampaikan kemahiran membaca kepada pelajar sejak di prasekolah ialah untuk membolehkan mereka membaca dengan baik. Kemahiran mi melibatkan proses decoding iaitu membolehkan pelajar menggunakan pelbagai teknik bacaan seperti membaca secara kuat, membaca senyap, menjawab soalan dan menyiapkan latihan bertulis berpandukan teks yang dibaca.

Dalam kemahiran membaca ini, banyak kemahiran-kemahiran lain yang akan turut terlibat sekiranya dilaksanakan dengan baik seperti kemahiran participation, bertutur, mendengar, menulis dan kemahiran pengurusan kendiri. Bagi guru yang berpengalaman, mereka akan memberikan perhatian khusus kepada kemahiran ini dan memastikan pelajar-pelajar mereka menguasainya kerana ia memberi kesan kepada pembelajaran pelajar pada masa yang akan datang.

1. Memahami Isi Kandungan

Kemahiran membaca ini agak kompleks kerana turut melibatkan kemahiran comprehension atau memahami apa yang dibaca secara menyeluruh. Persoalan yang selalu ditanya ialah bagaimana pelajar boleh mendapatkan ilmu dan pengetahuan kepada pembacaan dan bagaimanakah ia dicerakinkan atau bagaimanakah pelajar menyenaraikan pemahaman apa yang dibacanya dengan fakta-fakta yang diajar oleh guru.

2. Struktur Buku Teks

Sesungguhnya setiap buku teks mempunyai kelainan dari segi isi kandungan, tajuk, struktur penulisan dan stail penulisan. Misalnya buku Bahasa Melayu tidak sama dengan buku Matematik, buku Sejarah berlainan dengan buku Fizik dan begitulah dengan buku-buku mata pelajaran yang lain. Semua buku ini akan mencabar minda dan keupayaan pelajar untuk memahami isi kandungannya.

3. Memahami Fakta

Guru-guru juga perlu menyedari bahawa apa yang dibaca oleh pelajar daripada sehari ke sehari semakin sukar dan mencabar. Misalnya, semasa pelajar di sekolah rendah mereka perlu memahami fakta-fakta asas sahaja seperti nama, tarikh, tempat, peristiwa dan angka. Apabila masa berubah, mereka perlu meningkatkan pemahaman mereka kepada fakta saintifik, bahasa asing dan pengkomputeran. Kemudian lebih mendalam lagi, pelajar perlu tahu apakah maksud tersurat atau tersirat oleh pengarang, memberi pendapat kepada sesuatu isu atau membuat kesimpulan daripada hasil pembacaan mereka. Dengan kata lain, pelajar perlu mengetahui banyak perkara, mengingat fakta dan menulis kembali berpandukan soalan. Oleh itu, pelajar perlu digalakkan membuat rujukan melalui perpustakaan, Internet, akhbar, majalah dan dokumen-dokumen. Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab guru untuk menyebarluaskan kemahiran-kemahiran mendapatkan maklumat baru itu kepada pelajar mereka.

Adalah dianggap tidak memadai jika guru memberikan kemahiran mernbaca ini dengan hanya melalui keadaan how to read tetapi tidak menekankan how to read to learn. Misalnya, semasa mengajar mata pelajaran Sejarah, guru meminta pelajar membaca buku teks daripada muka surat 122 hingga 156. Guru akan merasa puas dan berjaya mengajar apabila dapat menerangkan ayat terakhir daripada muka surat 156 itu. Sepatutnya guru hendak membuat lebih daripada itu dengan melatih pelajar mendapatkan fakta, memahami fakta dan mengingat semua fakta tersebut.

Dalam menyampaikan kemahiran membaca ini, guru hendaklah memulakan dengan melihat dahulu struktur penulisan buku teks seperti isi kandungan, prakata, tajuk, tajuk kecil, rujukan dan indeks. Kebiasaannya buku-buku teks telahpun ada struktur yang standard ini. Walau bagaimanapun, membaca buku antologi cerpen, puisi, novel atau folktales mungkin strukturnya agak berbeza.

Menggariskan atau highlighting isi penting merupakan satu lagi kaedah untuk mengingat. Tetapi perlu berhati-hati kerana yang ditandakan itu mestilah fakta penting. Ada beberapa panduan lain untuk mengingat fakta iaitu dengan menggunakan kaedah berikut:

a. Membuat Kesimpulan

Satu lagi kaedah yang digunakan ialah summarizing a reading passage dan ianya melibatkan proses kognitif. Tiga proses yang terlibat iaitu pertama, menentukan maklumat yang penting dalam teks, kedua mengenal pasti konsep umum yang bertahap tinggi dan tahap rendah dan ketiganya menulis kesimpulan. Kaedah ini kebiasaannya digunakan oleh pelajar kolej atau universiti tetapi tidak salah jika diperkenalkan kepada pelajar sekolah lebih awal.

b. Memantau Fakta Semasa Membaca

Monitoring comprehensive while reading merupakan satu kaedah lagi yang melibatkan bagaimana minda bekerja semasa membaca atau dikenali sebagai metacognition. lanya melibatkan dua kemahiran iaitu kebolehan mengenal pasti fakta semasa membaca dan keduanya kebolehan memilih fakta menggunakan strategi membetulkan kesilapan. Pembaca yang baik biasanya memahami bahan yang dibacanya. Sekiranya ia gagal mendapat fakta yang diperlukan maka mindanya akan bekerja untuk mencari kesilapan dan kesukaran di dalam teks serta berusaha untuk mencari jawapannya.

Teknik menyoal daripada teks akan dapat membantu pelajar menguasai kemahiran ini. Kebanyakan buku teks telah menyediakan soalan-soalan pada bahagian akhir sesuatu bab. Namun pelajar masih boleh menyediakan soalan sendiri secara dalaman melalui minda ketika sedang membaca.

c. Membaca Cepat

Pelajar juga perlu diajar kaedah membaca dengan cepat kerana dijangkakan pelajar yang baik akan membaca lebih banyak bahan dibandingkan pelajar lain. Purata pembacaan pelajar ialah antara 130 hingga 250 perkataan seminit. Sudah tentu pelajar yang boleh membaca lebih 500 patah perkataan seminit akan menjadi lebih baik.

Memperkenalkan kaedah SQ3R Reading Strategy kepada pelajar adalah satu langkah yang bijak. Kaedah ini melibatkan lima langkah iaitu; Survey (tajuk teks), Ask Question (menjadikan tajuk sebagai soalan), Read (membaca untuk menjawab soalan), Recite (menyediakan nota ringkas) dan Review (membaca semula nota, menyediakan soalan sendiri dan menjawabnya).

Selain itu, menggunakan kaedah Reciprocal Teaching Reading Strategy juga boleh diperkenalkan kepada pelajar. Kaedah ini dilaksanakan melalui empat aktiviti iaitu pertama menghasilkan soalan sendiri tentang isi teks berkenaan. Kedua ialah membuat kesimpulan daripada pembacaan, ketiga menerangkan maklumat daripada teks dan keempat menjangkakan apakah soalan lain yang boleh ditanya hasil daripada maklumat yang telah dibaca.

Pelajar-pelajar digalakkan menyediakan soalan-soalan tersebut daripada setiap pembacaan mereka sama ada teks yang pendek atau panjang dan membiasakan diri menjawab semula soalan soalan tersebut.

KESIMPULAN

Kemahiran-kemahiran yang dinyatakan tadi boleh disampaikan kepada pelajar melalui program dan aktiviti yang diatur oleh Pengetua atau Guru Besar. Libatkan semua guru supaya mak tersebut sampai kepada semua warga sekolah. Ramai pegawai-pegawai di Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut dan dapatkan khidmat mereka kerana mereka akan sedia membantu.

Jemaah Nazir Sekolah berpendapat, proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih berkesan sekiranya guru-guru dapat menyampaikan ilmu dan pelajar-pelajar dapat menerimanya melalui kemahiran-kemahiran yang sedia ada dalam diri mereka. Menggunakan pelbagai kemahiran belajar akan menjadikan pendidikan lebih menarik dan merangsang pelajar mengejar ilmu pengetahuan secara optimum. Ini akan menjadikan sekolah-sekolah kita sebagai pusat kecemerlangan yang menyediakan pendidikan berkualiti kepada pelajar-pelajar.

RUJUKAN

Dunn, R. And K. Dunn, Teaching Students Through Their Individual Learning Styles, Reston Publishing, 1978.

Gall, M.D and Gall, J.P., Tools for Learning : A Guide to Teacher Study Skill, ASDC Pub. 1990.

Pauk, W. How to Study in College, Boston:Houghton Miffin, 1989.

Schmeck, R.R. Learning and Study Strategies, Academic Press, 1988.

Standley, K.E. How to Study, Palo Alto, Calif : Dale Seymour, 1987.

Nota Syarahan Kursus Inspection of School in the UK, Faculty of

Education, Christ Church University, Canterbury, UK, October 2005.

Mat Saleh - Pejuang Sabah

Datu Mat Salleh, lebih dikenali dengan mudah sebagai Mat Salleh, merupakan pejuang Sabah yang terkenal dalam penentangan yang hebat terhadap penjajahan British di Sabah. Beliau pernah mengisytiharkan daerah Tambunan sebagai daerah di bawah kekuasaannya.

Mat Salleh ialah anak kedua dalam sekeluarga empat adik-beradik daripada suku Suluk Paitan.
Ibunya daripada suku Bajau. Abangnya bernama Ali, sedangkan adik-adiknya bernama Badin dan Bolong. Isteri Mat Salleh yang bernama Dayang Bandang berasal daripada keluarga Sultan Sulu dan berkampung di Pengalaban, Paitan.

Datu Mohammad Salleh mengambil tugas bapanya, Datu Balu sebagai ketua kampung di daerah Lingkabo dan Sungai Sugut. Perbelanjaan pentadbiran Datu Mat Salleh adalah daripada pungutan cukai ke atas pedagang-pedagang yang melalui Sungai Sugut pada tahun 1894.


Inggeris tidak senang dengan tindakan Mat Salleh itu, lalu menyerang Mat Salleh di Jambongan serta memusnahkan kampung Mat Salleh di Sungai Sugut pada tahun 1896.Datu Mat Salleh bagaimanapun dapat melepaskan diri. Detik perjuangan Datu Mat Salleh menentang pencerobohan dan keganasan Syarikat Berpiagam Borneo Utara bermula pada bulan Julai 1897.
Mat Salleh dan pengikut-pengikutnya menyerang dan membinasakan pejabat Pentadbiran Kompeni di Pulau Gaya. Dalam tahun yang sama juga Mat Salleh menyerang dan membakar Pejabat Residen Kompeni di Ambong.

Pada bulan Disember 1897, Inggeris menyerang kubu Mat Salleh di Ranau. Mereka tewas dan banyak askar Inggeris terbunuh. Seterusnya pada bulan Januari 1898, Inggeris sekali lagi menyerang kubu Mat Salleh di Ranau dengan angkatan tentera yang lebih besar. Mat Salleh terpaksa mengundurkan diri dan membina kota pertahanan yang baru, yang lebih kuat dan kukuh di kampung Tibabar, Tambunan.


Kota utama Mat Salleh di Tambunan ini sangat sukar ditembusi. Kota ini diperbuat daripada batu-bata, kayu serta buluh tidak dapat ditembusi peluru. Setiap penjuru kota dikawal dan terdapat beberapa terowong atau jalan bawah tanah yang rahsia digunakan untuk meminta bantuan-bantuan senjata, makanan dan lain-lain dari luar kota. Jalan rahsia ini juga dijadikan jalan untuk berundur menyelamatkan diri apabila dikepung musuh.

Tidak lama kemudian, pihak Kompeni menawarkan perdamaian dan Mat Salleh bersetuju, walaupun ditentang orang-orangnya. Tetapi pada 1899, Kompeni cuba mengambil alih Tambunan daripada Mat Salleh dan menyebabkan peperangan tercetus kembali.

Dan akhirnya pada 31 Januari 1900, kota Mat Salleh tumbang akibat serangan hebat Kompeni yang berjaya mematahkan pertahanan Mat Salleh.
Dan peristiwa itu menandakan gugurnya Mat Salleh sebagai pejuang bangsa.


Kini sebuah tugu dibina oleh Inggeris untuk memperingati kota Mat Salleh itu. Di tugu peringatan itu, tertulis perkataan dalam bahasa Inggeris yang bererti, 'Tugu ini menandakan tapak kubu Mat Salleh yang telah ditawan oleh Pasukan Bersenjata North Borneo Constabulary pada 1 Februari 1900. Dalam masa pertempuran itu, Mat Salleh yang telah mengetuai pemberontakan selama enam tahun menentang Pentadbiran Chartered Company menemui ajalnya'.


Pada pandangan British, Mat Salleh dianggap sebagai seorang pemberontak, tetapi pada kaca mata rakyat tempatan, dia ialah pejuang kemerdekaan dan seorang pahlawan.

Mat Kilau

Nama penuh beliau adalah Mat Kilau bin Imam Rasu @ Tok Gajah. Ibu beliau adalah Mahda iaitu anak kepada Tok Kaut Burau. Mat Kilau dipercayai lahir dalam tahun 1865/1866 di Kampung Masjid, Pulau Tawar. Mat Kilau pandai mengaji, berzanji dan berdikir maulud serta belajar berdikir rebana yang dikenali sebagai ‘Dikir Pahang’. Hobi Mat Kilau adalah bermain gasing dan berlaga buah keras sehingga sentiasa menjadi juara di kampung beliau.


Apabila berusia lebih kurang 20 tahun, Mat Kilau berkahwin dengan seorang gadis yang bernama Yang Chik binti Imam Daud, Kampung Kedondong. Hasil perkahwinan ini Mat Kilau telah dikurniakan tiga orang anak. Setelah berkahwin barulah Mat Kilau belajar bersilat dan menuntut ilmu kebatinan. Mat Kilau bukan sahaja belajar bersilat sebagaimana sahabatnya yang lain, bahkan beliau lebih mendalami silat dengan menggunakan senjata seperti keris dan parang.Mat Kilau juga banyak menuntut ilmu daripada ayahnya sendiri iaitu Tok Gajah. Ilmu kebatinan secara agama banyak dituntutnya daripada Haji Osman yang dikenali juga sebagai Haji Muntuk sebelum dia berpindah ke Pekan sebagai Mufti Negeri Pahang.


Mat Kilau mempunyai sifat-sifat seorang pemimpin dan pemikiran yang matang telah menjadikan beliau seorang pemuda yang sangat disegani dan dihormati. Mat Kilau mempunyai cara pemikiran yang matang. Pada bulan Oktober 1888 semasa Tok Gajah berada di Pekan, Hugh Clifford telah datang ke Pulau Tawar dan berunding dengan Mat Kilau. Ini menunjukkan Clifford mempercayai idea-idea Mat Kilau. Beliau suka bergaul dengan setiap lapisan masyarakat dan ini membuatkan beliau menjadi seorang yang luas pandangan dan mendapat kepercayaan penuh dari masyarakat. Mat Kilau adalah seorang yang jujur dan tegas, justeru itu dia sangat disegani dan amat dikasihi oleh pengikut-pengikutnya. Pengikutnya terlalu ramai,tetapi yang diketahui namanya ialah Awang Nong,Teh Ibrahim, Mat Kelubi, Mat Ali(khatib), Awang(Imam) dan Mat Tahir. Mereka ini sanggup sehidup semati dengan Mat Kilau.


Khabar yang menyatakan Mat Kilau mati tersiar di dalam akhbar-akhbar Inggeris yang diterbitkan di Singapura. The Straits Times dan The Free Press menyatakan "Ketua Pendehaka, iaitu Dato' Bahaman telah jatuh ke tangan pemerintahan Siam pada bulan Oktober,1895. The Free Press pula memberitahu bahawa "Mat Kilau telah melawan apabila hendak ditawan dan akibatnya dia telah cedera di muka dan di kepalanya. Luka-luka itu sangat parah dan dia telah mati di dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu disebabkan kehilangan banyak darah".


Dengan tersiarnya berita kematian Mat Kilau oleh akhbar The Free Press keluaran 22 Oktober 1895, maka pada pendapat umum tamatlah sudah riwayat Mat Kilau.akan tetapi apa yang sebenarnya berlaku tiada diketahui kecuali beberapa orang sahabatnya seperti Mustafa bin Awang Mat(Jusoh Rimau), Pendekar Tok Demali ,Raja Ibrahim(Pak Him), Mat Kelantan dan beberapa orang lain. Disebabkan Mat Kilau dicop sebagai 'penderhaka' oleh Inggeris,maka terpaksalah Mat Kilau mengasingkan diri dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya bermastautin di Batu 5,Jalan Kuantan-Gambang. Semenjak 1930 Mat Kilau juga terpaksa menukar namanya buat beberapa kali dan akhirnya dia memakai nama Mat Siam.


Dalam bulan Disember 1969,Tuhan telah menggerakkan hati Mat Kilau yang pada itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad bin Ibrahim,memperkenalkan dirinya yang sebenar.Untuk mengelakkan dirinya dari menjadi tumpuan ramai,maka Mat Kilau telah bersetuju mengumumkan dirinya di kampung kelahirannya. Atas daya usaha Omar bin Mat Kilau,maka Mat Kilau dibawa ke Kampung asalnya iaitu Kampung Masjid,Pulau Tawar. Pada hari Jumaat 26 Disember 1969, Mat Kilau telah pergi ke Masjid di Kampung Masjid untuk bersembahyang Jumaat. Selepas sembahyang, Mat Kilau telah mebaca Quran dan kemudiannya mengistiharkan dirinya sebagai Mat Kilau.



Pengisytiharan ini telah mengemparkan orang ramai sehingga Kerajaan Pahang menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat. Jawatankuasa itu dibentuk pada 8 Januari 1970. Beberapa orang telah ditemuramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau. Setelah disahkan maka pada pukul 10.30 pagi hari Khamis,6 Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang. Setelah empat hari selepas pengumuman pengiktirafan terhadap dirinya dibuat, Mat Kilau meninggal dunia kerana keuzuran. Usianya ketika itu dipercayai berusia 122 tahun.


Tok Janggut - pejuang atau pembelot?


Tok Janggut atau nama penuhnya Haji Hassan bin Panglima Mat Munas yang lebih dikenali sebagai Tok Janggut kerana memelihara janggut dan merupakan tokoh agama tempatan. Tok Janggut memberi penekanan kepada ajaran agama Islam menarik sokongan ramai pengikut di Kelantan.

Selepas Perjanjian Bangkok 1909, British mula membawa pelbagai perubahan khususnya dari segi pentadbiran. Perubahan yang diperkenalkan telah menyentuh kedudukan dan keistimewaan pemimpin tradisional di negeri Kelantan. Antara yang paling sensitif ialah mengenai pengenaan cukai kepala RM 1.00 seorang setahun, pokok buah-buahan 3 sen setahun, kelapa 3 sen setandan dan sireh 5 sen sejunjung.

Pada 29 April 1915 kekacauan timbul di Jeram, Pasir Puteh . Puncanya ialah "musuh Tok Janggut". Engku Besar tidak lagi berkuasa kerana diambilalih oleh Pegawai Jajahan yang dilantik oleh British. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila Encik Latiff, Pegawai Jajahan yang baru adalah "orang luar" menjalankan tugasnya dengan tegas khususnya di dalam hal kutipan cukai.

Engku Besar membuat perundingan dengan Haji Mat Hassan bin Munas (Tok Janggut), Haji Said, Che Sahak dan Penghulu Adam, di mana keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Kerajaan British dicapai. Tok Janggut bersama-sama rakan-rakannya mendapat sokongan sebilangan besar rakyat, dan ini membimbangkan Encik Latiff.

29 April 1915, satu pasukan polis diketuai oleh Sarjan Che Wan bertolak ke Kampung Tok Akib dan menemui Tok janggut. Pergaduhan kecil berlaku di mana Sarjan Che Wan telah terbunuh. Arahan menangkap Tok Janggut dibuat oleh Encik Latiff. Tok Janggut kemudiannya menghimpunkan orang-orangnya menuju ke Pasir Puteh. Encik Latiff pula telah melarikan diri ke Kota Bharu.

Perintah menangkap Tok Janggut dikeluarkan. Bantuan tentera dari Singapura dan Negeri Melayu Bersekutu tiba 6 Mei 1915 pasukan tersebut sampai di Pasir Puteh.

25 Mei 1915 serangan terhadap Tok Janggut dilancarkan di Kampung Merbuk dan Kampung Pupuh. Di Kampung Pupuhlah Tok Janggut terbunuh dan mayatnya di bawa ke Kota Bharu. Setelah digantung beberapa hari, di Padang Bank (Padang Merdeka) mayatnya dikebumikan di Pasir Pekan.


About this blog

Si camar putih cuba mendokumentasikan artikel-artikel penting, petikan kata, keratan akhbar & majalah, dan clip video yang didapati menarik untuk menjadi tatapan & renungan para pembaca khususnya untuk para pelajar, guru, ibubapa dan sesiapa yang berkenaan. Semua artikel, petikan kata, keratan akhbar & majalah yang terpilih akan dientrikan bersama sumber asalnya. Sumber asal adalah penting untuk mengikhtiraf sumbangan penulis / penerbit yang sebenarnya.