Budak buku teks

Oleh Ibrahim Isa dan Zalifah Mohd Yatim
am@hmetro.com.my

(Petikan Harian Metro, 10 Mac 2005)

ULU TIRAM: Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2004, Nur Amalina Che Bakri digelar guru kelasnya sebagai ‘Budak Buku Teks’ kerana keupayaannya mengingati semua pelajaran yang diajar.
Gurunya, Zaiton Salamat, berkata Nur Amalina adalah seorang pelajar yang sentiasa memberi tumpuan ketika di dalam kelas dan banyak bertanya kepada guru jika tidak memahami mata pelajaran yang diajar.

“Setiap topik dia bukan hanya memberi tumpuan dan memahaminya, malah akan menghafalnya sehingga diberi gelaran ‘Budak Buku Teks’.

“Nur Amalina akan ingat setiap mata pelajaran yang diajar dari A sampai Z kerana sikapnya yang suka menambah ilmu pengetahuan termasuk rajin mencari maklumat sampingan dengan melayari internet,” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Tiram, di sini, semalam.

Zaiton adalah guru kelas sejak Nur Amalina dalam tingkatan empat hingga lima di sekolah berkenaan dan turut mengajar mata pelajaran Biologi.

Katanya, di sekolah Nur Amalina sentiasa mengisi masa lapang dengan membaca dan tidak suka membuang masa, walaupun ketika menjadi pengacara majlis akan sentiasa memegang buku nota.

Menurutnya, dalam kelas Nur Amalina akan sentiasa memastikan duduk di bahagian depan dan sepanjang peperiksaan sentiasa mendapat tempat pertama.

“Saya yakin dia akan mencapai keputusan cemerlang termasuk apabila dia memaklumkan mengambil satu lagi mata pelajaran tambahan iaitu Sains Teras.

“Kata-kata yang kerap dia ucapkan adalah ‘Insya-Allah boleh’. Dia tidak pernah mengaku kalah bahkan sentiasa berkeyakinan dengan apa yang diusahakannya,” katanya.

Nur Amalina mendapat 17A1 dalam peperiksaan SPM tahun lalu yang diumumkan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di sekolahnya, petang semalam.

Dia mendapat A1 dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik Moden, Biologi, Kimia, Fizik, Ekonomi Asas, Perdagangan, Prinsip Akaun, Sains Asas, Pendidikan Seni, Tasawur Islam, Kesusasteraan Melayu, Bahasa Inggeris bagi Sains dan Teknologi, Pendidikan Islam, Matematik Tambahan.

Selain itu, Nur Amalina mendapat pangkat A bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris 1119.

Sementara itu, Pengetua SMK Ulu Tiram, Rosni Ismail, berkata beliau mengenali Nur Amalina sejak pelajar itu menuntut di tingkatan satu dan bakat serta kebolehannya dikesan ketika menghadiri kursus pengawas pada 2001.

Katanya, Nur Amalina sentiasa menjadikan guru sebagai rujukan dan dua kali seminggu, dia akan berjumpanya untuk mendapatkan nasihat dan pandangan mengenai pelajaran.

Menurutnya, sifat ulat buku Nur Amalina adalah antara amalan diterapkan dalam kehidupan untuk meluaskan ilmu pengetahuan.

“Walaupun membuat keputusan tidak menyambung pelajaran di sekolah berasrama penuh dan tidak pergi ke kelas tuisyen, Nur Amalina menjadi contoh pelajar di sekolah harian masih boleh mendapat keputusan cemerlang.

“Apabila mengenali dan mengesan bakat Nur Amalina ketika dia di tingkatan satu, saya sudah ramalkan dia akan mencatatkan sejarah,” katanya.

0 comments:

About this blog

Si camar putih cuba mendokumentasikan artikel-artikel penting, petikan kata, keratan akhbar & majalah, dan clip video yang didapati menarik untuk menjadi tatapan & renungan para pembaca khususnya untuk para pelajar, guru, ibubapa dan sesiapa yang berkenaan. Semua artikel, petikan kata, keratan akhbar & majalah yang terpilih akan dientrikan bersama sumber asalnya. Sumber asal adalah penting untuk mengikhtiraf sumbangan penulis / penerbit yang sebenarnya.